• April 18, 2026 10:44 am

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

PMX Sudah Hilang Arah, Tertekan Dengan Pelbagai Krisis Terus Melompat Label Rakyat Buta Huruf

Apr 9, 2026

Tatkala krisis perang Iran-AS terus panas, krisis dalam negara juga semakin mencengkam kerajaan Madani.

Satu persatu kelemahan dan kebobrokan pentadbiran Madani dihidang kepada rakyat.

Kepimpinan Anwar Ibrahim hari ini bukan sekadar menunjukkan tanda-tanda kelemahan; ia sedang runtuh di hadapan mata rakyat.

Dalam keadaan rakyat dihimpit kos sara hidup yang menggila, beliau bukan tampil sebagai penyelesai, sebaliknya berubah menjadi seorang pemimpin yang cepat melenting, defensif dan paling parah menuduh rakyat sebagai ‘buta huruf’ hanya kerana berani bertanya.

Ini bukan lagi soal persepsi politik.

Ini adalah realiti pahit yang sedang ditanggung oleh jutaan rakyat Malaysia.

Apabila kerajaan sendiri mengakui harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung boleh mencecah RM6.02 seliter, berbanding RM2.15 di Sabah dan Sarawak, itu bukan sekadar jurang harga, itu adalah jurang keadilan.

Jurang yang terlalu besar ketara bezanya.

Mengapa ada diskriminasi yang terlalu melampau seperti ini?

Rakyat tidak pernah dengki dengan kelebihan yang dinikmati Sabah dan Sarawak.

Semua faham cabaran geografi dan infrastruktur di sana.

Tetapi persoalan yang gagal dijawab oleh kerajaan:

  • Adakah rakyat Semenanjung ini warganegara kelas kedua?
  • Adakah di Semenanjung tiada kawasan pedalaman, tiada cabaran logistik, tiada tekanan kos yang sama?
  • Atau sebenarnya kerajaan memilih untuk mengorbankan Semenanjung demi menutup kelemahan fiskal mereka sendiri?

Kelemahan ketirisan kewangan, kelemahan rasuah yang semakin menggila dalam Madani, kelemahan kerana bersepakat dengan Mafia Korporat atau kerana wang negara telah habis dikendurikan sesama pimpinan Madani.

Lebih memalukan, harga diesel di Semenanjung kini lebih mahal daripada Thailand.

Ini bukan sekadar kegagalan domestik, ini tamparan kepada imej negara di peringkat serantau.

Kerajaan cuba berlindung di sebalik lonjakan harga diesel ditapis global sehingga AS$250 setong.

Tetapi alasan ini runtuh dengan sendirinya apabila kita melihat satu fakta mudah, jika faktor global menjadi punca utama, bagaimana Sabah dan Sarawak masih dapat menikmati harga rendah.

Jawapannya jelas kerana kerajaan mampu, tetapi memilih untuk tidak melaksanakannya secara adil.

Kerana Madani lebih memilih motif politik berbanding motif kebajikan rakyat.

Lebih menyedihkan, rakyat disogok dengan naratif bahawa penyeludupan minyak di Semenanjung adalah punca utama.

Ini bukan sahaja lemah, malah menghina intelek rakyat.

Ia seolah-olah kerajaan berkata: “Kami gagal, tapi salah rakyat juga.”

Hakikatnya, rakyat semakin melihat bahawa tekanan ini berpunca daripada pengurusan kewangan negara yang tempang, ketirisan, pembaziran dan pengagihan kekayaan yang lebih memihak kepada kelompok tertentu.

Rakyat dipaksa menanggung beban untuk menutup kelemahan kerajaan sendiri.

Rakyat jelas sudah meluat dengan kerajaan Madani yang dahulu melaungkan slogan reformasi kini tenggelam dalam kontroversi, dakwaan rasuah, bayang-bayang mafia korporat dan keputusan dasar yang memihak kepada elit.

Jurang antara janji dan realiti kini bukan lagi retak kecil; ia sudah menjadi jurang yang dalam dan berbahaya.

Dan apabila jurang ini dipersoalkan, Anwar Ibrahim tidak menjawab dengan fakta atau solusi, tetapi dengan serangan emosi, melabel rakyat sebagai ‘buta huruf’.

Membebel tergagap-gagap di atas pentas.

Ini bukan kepimpinan. Ini keangkuhan yang lahir daripada tekanan dan kegagalan.

Dalam krisis geopolitik seperti konflik Iran–AS yang menggoncang pasaran tenaga dunia, Malaysia memerlukan kepimpinan yang tegas dan strategik.

Namun, apabila Perdana Menteri sendiri mengakui rundingan laluan kapal di Selat Hormuz sebagai sukar, ia bukan menunjukkan kejujuran; ia menunjukkan ketiadaan pengaruh dan kekuatan diplomatik.

Kebodohan joget bersama Trump masih lagi diingati rakyat dan mereka kesal.

Trump, penjenayah dan pembunuh rakyat Palestin, dirai dan disambut hangat.

Mujurlah, Iran, penyokong kuat Palestin, masih berlembut hati dengan Malaysia membenarkan kapal negara melalui Selat Hormuz.

Persoalannya:

  • Di mana hasil hubungan antarabangsa yang sering dicanang?
  • Apa manfaat hubungan dengan tokoh seperti Donald Trump jika akhirnya Malaysia masih gagal melindungi kepentingannya sendiri?
  • Adakah semua itu sekadar persembahan politik tanpa hasil sebenar?

Tidak pernah hubungan antarabangsa dunia dijalinkan dengan joget.

Negara dihormati kerana ketegasan pemimpin bukan kerana joget atau sebatang pen.

Hari ini rakyat berdepan realiti yang keras, diesel melonjak, harga barang mencanak naik, kos logistik menekan dan masa depan ekonomi semakin kelam.

Dalam keadaan ini, rakyat mengharapkan ketenangan dan kebijaksanaan daripada seorang pemimpin.

Namun, yang mereka terima adalah kemarahan, sindiran dan sikap menyalahkan.

Lebih membimbangkan, kegagalan ini bukan hanya di peringkat nasional.

Isu dalaman parti sendiri pun gagal diurus dengan baik, sehingga program seperti konvensyen parti menjadi kelam-kabut.

Jika rumah sendiri tidak terurus, bagaimana mahu mengurus negara?

Krisis ini bukan sekadar tentang diesel.

Ia adalah cerminan kegagalan menyeluruh dalam tadbir urus, komunikasi dan kepimpinan.

Seorang pemimpin sejati akan mendengar, memperbaiki dan memimpin dengan tenang.

Tetapi pemimpin yang hilang arah akan menyerang, menyalahkan dan akhirnya kehilangan kepercayaan rakyat.

Hari ini, semakin ramai melihat bahawa Anwar Ibrahim bukan sahaja gagal mengurus krisis, malah sedang tenggelam dalam krisis yang dicipta oleh kelemahannya sendiri.

Itu belum lagi diungkit kes Yusuff Rawther.

Maka Anwar adalah jelas Perdana Menteri paling gagal yang pernah ada di Malaysia.

Dan jika keadaan ini terus dibiarkan, kejatuhan bukan lagi persoalan kerana ia adalah pasti tiba, tetapi bila?