• June 26, 2025 5:35 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Usah ‘Lompat’ Tuduh Ucapan Hadi Perkauman, Pandang Isu Pokok

Sep 13, 2022

Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menasihatkan semua pihak berlapang dada dan tidak terus “melompat” apabila Presidennya, Abdul Hadi Awang mengaitkan orang bukan Islam sebagai “punca rasuah”.

Ketua Penerangan DHPP Pusat, Balachandran G Krishnan berkata, apa yang dimaksudkan Hadi itu merujuk kepada kajian peringkat PhD di sebuah universiti tempatan bahawa 88% pemberi rasuah yang didapati bersalah terdiri daripada golongan bukan Melayu.

Katanya, semua pihak tidak sepatutnya melihat ucapan Hadi dari segi “perkauman”, sebaliknya isu pokok yang mahu disampaikan presiden PAS itu adalah budaya rasuah semakin berleluasa.

“Jangan lihat kenyataan itu perkauman…niat presiden PAS bukan nak cetuskan perkauman…niat beliau ialah merujuk kepada kajian yang dibuat.

“Hadi tak ada niat nak perkecil kaum lain berhubung soal rasuah.

“Orang bukan Islam lebih ramai menjadi pemberi (rasuah) dan orang Melayu lebih ramai menerima (rasuah), ia adalah kajian akademik yang dibuat, tapi ada pihak melompat pergi buat laporan polis…(dan ini) sebenarnya telah mewujudkan suasana seolah-olah ia perkauman,” katanya kepada FMT.

Tegasnya, apa yang perlu dilihat bukan isu mengenai kaum mana paling ramai memberi atau menerima rasuah, sebaliknya budaya negatif itu sendiri perlu ditangani.

“Kalau kita terlalu fokus kononnya ia isu perkauman, sampai bila isu pokok untuk banteras rasuah tak akan selesai.

“Sepatutnya, semua kaum, parti duduk mencari jalan dan beri idea bagaimana untuk menangani budaya rasuah,” katanya.

Beliau turut mengulangi ketegasan DHPP sebelum ini bahawa ucapan Hadi diperbesarkan pihak tertentu demi kepentingan politik.

“Keterangan Hadi lebih kepada soal akademik untuk kenal pasti punca, bukan untuk memperlekeh kaum,” katanya.

Hadi sebelum ini mendakwa bukan Islam sebagai punca berlaku rasuah, di samping menyifatkan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara.

Susulan itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki tampil mempertahankan Hadi dengan memetik kajian peringkat PhD di sebuah universiti tempatan yang mendakwa 88% pemberi rasuah yang didapati bersalah antara 2010 hingga 2014 terdiri daripada bukan Melayu.

Menurutnya, kajian itu mendapati 57.46% pemberi rasuah yang didapati bersalah terdiri daripada kaum Cina; 30.51% India dan 12.03% Melayu.

Zuhdi berkata, berdasarkan dapatan kajian itu, majoriti yang terlibat sebagai penerima rasuah adalah kaum Melayu, manakala majoriti pemberi rasuah adalah kaum bukan Melayu.