• May 24, 2026 4:56 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Perhimpunan Penubuhan DHPP Pusat 2026: Langkah Baharu Politik Pelbagai Kaum Dalam PAS

May 11, 2026

Perhimpunan Penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat 2026 yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) pada 9 Mei 2026 menjadi satu lagi detik penting dalam sejarah perjalanan PAS sebagai sebuah gerakan politik yang menitikberatkan prinsip perjuangan, kestabilan negara dan keharmonian masyarakat majmuk.

Perhimpunan kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya pemilihan kepimpinan DHPP diadakan selepas dewan tersebut diiktiraf secara rasmi sebagai dewan kelima PAS.

Proses pemilihan berlangsung dengan penuh tertib, demokrasi dan semangat muafakat, sekaligus mencerminkan kematangan organisasi yang semakin diyakini oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Kehadiran para perwakilan dari seluruh negara memperlihatkan perkembangan DHPP sebagai sebuah platform politik yang semakin tersusun dan relevan dalam landskap politik Malaysia semasa.

Apa yang suatu ketika dahulu hanya dianggap sebagai satu gagasan yang sukar diterima, kini berkembang menjadi sebuah gerakan pelbagai kaum yang bergerak bersama dalam satu saf perjuangan.

Perjalanan ini mempunyai akar sejarah yang panjang. Ia lahir daripada cita-cita besar Allahyarham Prof. Zulkifli Mohamad yang pernah membawa gagasan politik merentas kaum dalam PAS sejak awal dekad 1960-an. Hari ini, gagasan tersebut berkembang menjadi realiti yang semakin diterima masyarakat.

Sejarah juga membuktikan bahawa PAS tidak pernah dibina atas asas kebencian kaum atau sentimen perkauman yang sempit.

Dalam pelbagai episod sukar negara, termasuk tragedi 13 Mei 1969, PAS memilih pendekatan damai, kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Negeri Kelantan yang dipimpin PAS ketika itu kekal aman dan menjadi contoh hubungan antara kaum yang stabil dan harmoni.

Usaha mendekati masyarakat pelbagai kaum diteruskan secara konsisten melalui pelbagai inisiatif.

Bermula dengan penubuhan Chinese Consultative Council (CCC) pada tahun 1986, diikuti pelancaran Kelab Penyokong PAS oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 2004, kemudian penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS pada tahun 2010 dan penjenamaan semula sebagai Dewan Himpunan Pendukung PAS pada tahun 2019.

Kesinambungan ini menunjukkan bahawa PAS terus berkembang mengikut perubahan semasa tanpa meninggalkan prinsip asas perjuangannya.

Hari ini, DHPP bukan lagi sekadar simbol keterbukaan politik PAS. DHPP telah menjadi satu realiti politik baharu di Malaysia.

Kewujudannya membuktikan bahawa perjuangan PAS turut mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang mahukan politik lebih matang, stabil dan berteraskan nilai serta integriti.

Dalam keadaan politik negara yang semakin dipengaruhi polarisasi kaum, politik kebencian dan persepsi melampau terhadap agama, DHPP tampil membawa mesej penting bahawa perpaduan nasional tidak boleh dibina atas rasa takut atau sentimen perkauman.

Sebaliknya, perpaduan perlu dibina melalui kepercayaan, dialog, saling menghormati dan keadilan yang dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

DHPP terus memainkan peranan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam satu wadah perjuangan yang menekankan keharmonian dan kebersamaan.

Penglibatan aktif DHPP dalam pilihan raya, program masyarakat, pendidikan politik dan latihan kepimpinan membuktikan bahawa peranannya semakin penting dalam suasana politik semasa.

Perhimpunan bersejarah ini juga menyaksikan pembentukan saf kepimpinan baharu DHPP Pusat bagi sesi 2026–2027 yang akan meneruskan agenda memperkukuh organisasi ke arah lebih progresif dan dinamik.

Kepimpinan baharu tersebut diterajui oleh Encik Kumaresan A/L Baby Kalidawson sebagai Ketua DHPP dan Encik Lim Guan Seng sebagai Timbalan Ketua DHPP, bersama barisan kepimpinan lain yang dipilih dan dilantik untuk memperkukuh gerak kerja DHPP di peringkat nasional.

Barisan kepimpinan ini mencerminkan wajah sebenar Malaysia, masyarakat pelbagai kaum yang memilih untuk bergerak bersama atas asas kestabilan, persefahaman dan masa depan negara yang lebih baik.

DHPP akan terus diperkasakan bukan sahaja sebagai platform sokongan politik, tetapi juga sebagai jambatan perpaduan nasional, medan melahirkan kepimpinan masyarakat dan ruang membina kefahaman antara kaum serta agama secara lebih matang dan konstruktif.

Perhimpunan ini bukan noktah kepada sebuah perjalanan, sebaliknya menjadi permulaan kepada lembaran baharu politik matang pelbagai kaum dalam PAS dan Malaysia.

Semoga saf kepimpinan baharu DHPP Pusat dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh hikmah, integriti dan tanggungjawab demi memperkukuh keharmonian masyarakat serta membina Malaysia yang lebih stabil, sejahtera dan bermaruah untuk semua.

PAS FOR ALL

Dr. Balachandran Gopal Krishnan
Ketua Penerangan DHPP Pusat