• April 1, 2026 6:40 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

DHPP Terengganu Kukuhkan Hubungan Muhibah Menjelang Deepavali

Oct 8, 2025

Dalam usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negeri Terengganu, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr. Balachandran, telah mengadakan siri pertemuan rasmi bersama pemimpin tempatan dan wakil masyarakat India di kawasan Air Putih dan Ladang Jabor, Kemaman.

Pertemuan pertama berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Air Putih, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, YB Mohd Hafiz Adam, serta Setiausaha DHPP Terengganu, Sdr. Lip Woon Chang.

Pertemuan itu memberi tumpuan kepada isu-isu berbangkit melibatkan masyarakat bukan Islam, khususnya dalam aspek kebajikan, keperluan sosial dan penyertaan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Selain membincangkan soal kebajikan, mesyuarat tersebut turut menekankan persiapan sambutan perayaan Deepavali yang akan diadakan di Ladang Jabor, sebagai platform memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Balachandran turut mengadakan pertemuan berasingan bersama Sdr. Siva, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Perasing Jaya, yang juga merupakan Ketua DHPP Kemaman.

Pertemuan tersebut membincangkan isu semasa dan perkembangan masyarakat India di kawasan ladang, termasuk persediaan penganjuran Majlis Makan Malam Deepavali yang dijadualkan berlangsung di Dewan Orang Ramai Ladang Jabor.

Menurut Dr. Balachandran, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan DHPP Terengganu untuk memupuk semangat perpaduan dan saling memahami antara masyarakat berbilang kaum serta mengukuhkan nilai toleransi dan keharmonian sosial yang menjadi teras pentadbiran negeri.

“DHPP akan terus menjadi jambatan penghubung antara PAS dan masyarakat bukan Islam, agar semua pihak dapat bersama-sama merasai nikmat keamanan dan kesejahteraan dalam suasana penuh hormat dan saling menghargai,” katanya.

Inisiatif ini dilihat seiring dengan pendekatan “PAS Untuk Semua”, yang menekankan keterangkuman dan kesejahteraan sejagat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Semoga usaha yang digerakkan oleh DHPP Terengganu ini menjadi contoh terbaik dalam mengukuhkan ukhuwah insaniah serta membina masyarakat harmoni dan sejahtera di bumi Darul Iman.