• April 1, 2026 10:13 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Isyarat Terbuka: PAS Sudi Terima Semula MIC, Asalkan Faham Dasar Perjuangan

Aug 4, 2025

Kerjasama politik antara PAS dan MIC sekali lagi menjadi perhatian setelah seorang pemimpin kanan sayap PAS menyuarakan keterbukaan terhadap kemungkinan untuk menjalin semula hubungan antara kedua-dua parti tersebut.

Ini susulan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, yang baru-baru ini menyatakan kesediaan partinya untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi survival politiknya.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Balachandran Gopal Krishnan, mengingatkan bahawa PAS dan MIC pernah bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerjasama dengan MIC bukan baharu. Sebelum ini kita pernah tubuh kerajaan bersama di Putrajaya di bawah kepimpinan Muhyiddin dan Ismail,” kata Balachandran ketika diminta mengulas kenyataan Vigneswaran.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya terbuka untuk menjalin semula hubungan kerjasama politik dengan MIC, namun menekankan bahawa sebarang jalinan baharu perlu berdasarkan kefahaman terhadap prinsip dan dasar perjuangan yang dibawa oleh PAS serta rakan-rakan dalam komponen Perikatan Nasional.

“Kita mengalu-alukan, tetapi perlu memahami dasar parti dalam komponen termasuk PAS supaya kehadiran mereka itu nanti tidak timbul sebarang konflik,” ujarnya.

Kenyataan tersebut hadir beberapa hari selepas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, memberitahu media bahawa partinya masih menilai hala tuju politik yang akan diputuskan selepas mesyuarat agung tahunan MIC pada Oktober nanti.

Malah, ketika ditanya sama ada MIC akan menyertai Perikatan Nasional, beliau hanya menjawab dengan berhati-hati, tidak mengiyakan atau menidakkan secara terus.

Sementara itu, Presiden Malaysian Indian People’s Party (MIPP), P Punithan, yang juga sekutu dalam gabungan pembangkang, menyatakan bahawa beliau mempunyai hubungan baik dengan Vigneswaran, namun menafikan sebarang rundingan rasmi mengenai kerjasama politik antara MIC dan MIPP.

“Konteks ucapan itu adalah sedia untuk berbincang dengan mana-mana parti.

“Dua tiga hari lepas, beliau juga menyatakan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan perpaduan bagi menjayakan RMK13.

Banyak maksud yang boleh ditafsir,” ujar Punithan yang menasihatkan agar kenyataan tersebut ditangani secara cermat.

Nada optimis turut disuarakan oleh Timbalan Ketua Sayap Bersekutu BERSATU, R Sanjeevan, yang melihat potensi besar dalam jalinan kerjasama antara MIC, DHPP, MIPP dan Gerakan sebagai formula memperkukuh sokongan masyarakat India terhadap Perikatan Nasional.

“Hari ini, sokongan kaum India kepada MIC kembali pulih.

Saya percaya jika MIC bekerjasama dengan PN, ia akan mengukuhkan kedudukan PN sebagai gabungan yang lebih inklusif,” katanya.

Kenyataan terbuka ini menunjukkan isyarat bahawa Perikatan Nasional, khususnya PAS dan komponen-komponennya, bersikap realistik dan terbuka terhadap kerjasama strategik yang mampu memperkukuh kekuatan blok pembangkang—dengan syarat prinsip perjuangan Islam dan keadilan sosial tetap menjadi garis panduan utama.

Dengan tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 yang semakin hampir di radar politik negara, usaha membina pakatan baharu dan mengukuhkan tapak sokongan pelbagai kaum dilihat semakin rancak di belakang tabir.
Sama ada MIC akan melangkah ke dalam kem PN secara rasmi, masih menjadi tanda tanya yang akan terjawab selepas mesyuarat agung tahunan mereka nanti.

Jika MIC menyertai PN secara rasmi, ia bakal menandakan satu perubahan penting dalam lanskap politik kaum India dan membuka lembaran baru dalam pendekatan politik gabungan pembangkang di Malaysia.