• April 1, 2026 9:34 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Takziah Tragedi Perhentian: Dr. Samsuri Rakam Penghargaan Dan Kepedulian Kerajaan Negeri

Jul 15, 2025

Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi menyayat hati yang berlaku baru-baru ini di Pulau Perhentian.

Dalam kenyataan rasmi beliau, Dr. Samsuri merakamkan simpati dan rasa dukacita mendalam atas insiden berkenaan yang dipercayai telah mengorbankan beberapa nyawa.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas komitmen semua pihak yang bertungkus-lumus dalam pengurusan krisis tersebut.

“Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi di Pulau Perhentian baru-baru ini.

“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” ujar beliau.

Dr. Samsuri turut menyanjung tinggi keprihatinan Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Pejabat Menteri Besar, Dr. Balachandran, yang turun padang sejak awal tragedi berlaku.

Tindakan pantas beliau, termasuk membantu menguruskan hal berkaitan mangsa dan menziarahi keluarga yang terlibat di Pulau Pinang, menunjukkan pendekatan menyeluruh dan inklusif kerajaan negeri dalam menangani isu kemanusiaan tanpa mengira latar belakang.

Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada pelbagai agensi penyelamat, pasukan keselamatan dan petugas kecemasan yang memberikan khidmat terbaik dalam menangani situasi tersebut dengan penuh profesionalisme dan ihsan.

Kerajaan Negeri Terengganu, kata beliau, akan terus memantau perkembangan pasca-tragedi dan bersedia menghulurkan bantuan lanjut kepada keluarga yang memerlukan.