• June 26, 2025 6:56 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Masyarakat Bukan Islam Perlu Jauhi Parti ‘Cakap Tak Serupa Bikin’

Oct 2, 2024

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan, menyeru masyarakat bukan Islam untuk menjauhi parti-parti politik yang ‘cakap tak serupa bikin’.

Beliau menekankan bahawa masyarakat bukan Islam hanya ingin menikmati keadilan dan dijauhkan daripada sebarang kemudaratan seperti rasuah dan penyelewengan.

Dr. Balachandran menyatakan bahawa rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang inginkan perubahan, kini memberikan penghormatan kepada PAS kerana parti tersebut berpegang teguh pada prinsip keadilan dan ketelusan dalam pentadbiran.

Tambahnya, sudah tiba masanya masyarakat bukan Islam menjauhi parti-parti yang telah menyimpang daripada prinsip asal mereka.

“Kita tak mahu perkara-perkara yang membahayakan dan membebankan seperti rasuah dan penyelewengan.

“Pada masa lalu, masyarakat bukan Islam memilih Pakatan Harapan (PH) kerana mereka benar-benar mahu rasuah dan penyelewengan dihapuskan.

“Namun, kini mereka melihat parti-parti tersebut hilang prinsip demi mengekalkan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyifatkan keadaan ini sebagai hikmah daripada Tuhan, di mana rakyat kini sedar bahawa sudah tiba masanya untuk mereka beralih kepada PAS, sebuah parti yang jelas dalam pendirian dan bersih daripada kemungkaran.

Menurut Dr. Balachandran, PAS konsisten menegakkan prinsip-prinsip Islam yang menggalakkan kasih sayang serta keadilan untuk membina masyarakat yang inklusif dan bersatu padu.

Dr. Balachandran juga menegaskan bahawa masyarakat bukan Islam tidak mempunyai pilihan selain memilih PAS, seperti yang terbukti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu, di mana sokongan bukan Islam kepada PAS dilihat semakin meningkat.

“Kita memainkan peranan penting dalam menarik undi, terutamanya melalui DHPP dan kerjasama dengan parti lain seperti Gerakan dan Bersatu.

“Namun, apa yang membezakan PAS ialah prinsip keadilan dan kebersihan dalam pentadbiran, yang diajarkan melalui usrah dan tazkirah,” tambahnya, yang juga merupakan Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) kepada Menteri Besar Terengganu.

Dr. Balachandran menegaskan bahawa rakyat menghormati PAS kerana parti tersebut berusaha membina sebuah negara yang adil, bersih, dan bebas daripada penyelewengan, selaras dengan tuntutan rakyat yang inginkan perubahan positif.