• April 1, 2026 10:30 am

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Hormat Agama Teras Keharmonian Negara Majmuk

Feb 27, 2026

Perbuatan memijak al-Quran yang tular baru-baru ini merupakan satu tindakan melampau dan amat menghina, yang sama sekali tidak boleh diterima di negara kita.

Tindakan sedemikian bukan sahaja melukakan hati umat Islam, malah berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk yang telah sekian lama kita bina bersama.

Kita tidak boleh membiarkan budaya provokasi dan kebencian terhadap agama terus berulang.

Agama seharusnya menjadi asas perpaduan, bukannya punca perpecahan.

Mengasihi Tuhan bermaksud mencintai sesama insan.

Menghormati kepercayaan serta simbol suci agama lain mencerminkan kematangan dan ketamadunan sesebuah masyarakat.

Lebih membimbangkan apabila terdapat dalam kalangan generasi muda yang dilihat kurang sensitiviti dan rasa hormat terhadap agama.

Perkara ini menuntut perhatian serius daripada semua pihak.

Pendidikan nilai mesti diperkukuh, bermula dari institusi keluarga.

Ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membentuk akhlak anak-anak, menanamkan sikap hormat, empati serta kefahaman bahawa setiap agama wajar dihormati tanpa mengira latar belakang kepercayaan masing-masing.

Dalam masa yang sama, semua pihak diseru agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

Isu seperti ini tidak memadai ditangani melalui tindakan perundangan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan usaha pembinaan nilai dan kesedaran yang berterusan.

Pendidikan bermula dari rumah.

Apabila budaya hormat-menghormati dipupuk sejak usia muda, kita sebenarnya sedang melindungi keamanan, kestabilan dan perpaduan negara untuk generasi yang akan datang.

Dr Balachandran Gopal Krishnan
Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam)
Menteri Besar Terengganu