• April 1, 2026 12:13 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

DHPP Marang Dilancar, Perkukuh Jambatan Perpaduan Masyarakat Majmuk

Feb 16, 2026

Usaha memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum terus diperkasakan apabila Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Peringkat Kawasan Marang dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis penuh muhibah di Dataran Taman Rekreasi Madani, Taman Raya Wakaf Tapai, baru-baru ini.

Majlis pelancaran yang berlangsung dalam suasana harmoni itu turut diserikan dengan program agihan limau sempena Tahun Baharu Cina 2026 sebagai simbol semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Program berkenaan merupakan anjuran Lajnah Perpaduan Nasional bersama Pusat Khidmat Masyarakat Pengkalan Berangan, dengan kerjasama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di peringkat kawasan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam mengukuhkan jaringan hubungan antara kaum serta memperluas peranan DHPP sebagai wadah penyatuan masyarakat bukan Islam bersama PAS.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan DHPP dalam memainkan peranan sebagai jambatan persefahaman antara komuniti serta memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di negeri Terengganu, khususnya di kawasan Marang.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan DHPP bukan sekadar penyertaan dalam ruang politik, bahkan berfungsi sebagai platform penting dalam membina hubungan yang saling menghormati, memahami sensitiviti budaya dan agama, serta menyuburkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.

Program tersebut juga mendapat sokongan kepimpinan pusat apabila turut dihadiri oleh Dr. Balachandran Gopal Khishnan, Ketua Penerangan DHPP Pusat.

Beliau menzahirkan komitmen berterusan untuk memperkasa gerak kerja DHPP di seluruh negara melalui pendekatan dialog, kebajikan dan program kemasyarakatan yang merapatkan hubungan antara kaum.

Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam program ini menggambarkan penerimaan yang semakin positif terhadap peranan DHPP sebagai wadah penyatuan dan keharmonian.

Agihan limau Tahun Baharu Cina yang diadakan dalam suasana penuh mesra turut menjadi simbol hubungan erat antara komuniti, mencerminkan semangat saling menghormati dan hidup dalam suasana aman.

Dengan pelancaran rasmi DHPP Peringkat Kawasan Marang ini, diharapkan organisasi tersebut akan terus komited untuk memperkasa peranannya sebagai penghubung antara komuniti, menyemai semangat saling menghormati serta menyuburkan keharmonian dalam masyarakat.

Perpaduan yang terjalin diharap terus kukuh, silaturahim terus erat, dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat sentiasa terpelihara demi kesejahteraan negeri dan negara.