• May 24, 2026 5:56 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Menangani Isu Rumah Ibadat Tanpa Kelulusan Melalui Saluran Undang-Undang Secara Harmoni

Feb 2, 2026

Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mengambil maklum perbincangan yang timbul berhubung isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan yang telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam masyarakat.

DHPP ingin menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan pembinaan struktur tanpa kebenaran, termasuk rumah ibadat, adalah perkara yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan agensi penguat kuasa yang berkaitan.

Ia sewajarnya ditangani melalui saluran peraturan serta penguatkuasaan undang-undang yang telah ditetapkan.

Sebagai sebuah sayap yang mewakili masyarakat bukan Islam dalam PAS, DHPP berpandangan bahawa pendekatan terbaik dalam isu seperti ini adalah dengan memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil, konsisten dan tanpa dipengaruhi sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Undang undang sedia ada memberikan kuasa yang jelas kepada pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah untuk menyiasat, mengeluarkan notis dan mengambil tindakan sewajarnya.

Di situlah ruang tindakan yang sebenar.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW menekankan prinsip keadilan, hikmah dan hidup bersama secara aman dalam masyarakat pelbagai agama.

Piagam Madinah memperakui hak komuniti bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka tanpa gangguan, selagi mana mereka mematuhi peraturan yang dipersetujui bersama.

Prinsip ‘Lakum dinukum waliyadin’ bukan sekadar lafaz, tetapi pedoman dalam hubungan antara penganut agama.

Prinsip ini selari dengan semangat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dibina atas asas saling hormat-menghormati.

DHPP juga berpendapat bahawa naratif awam berkaitan isu ini perlu dikendalikan dengan cermat agar tidak menimbulkan salah faham atau menyentuh sensitiviti mana mana komuniti.

Tumpuan seharusnya diberikan kepada aspek pematuhan undang undang dan penambahbaikan sistem pemantauan serta kelulusan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Tambahan pula, dalam suasana negara yang sentiasa menerima perhatian antarabangsa, termasuk kunjungan pemimpin luar seperti Narendra Modi, pendekatan yang sensitif dan matang amat penting agar keharmonian Malaysia tidak disalah tafsir.

Kepimpinan yang membawa imej Islam wajar memimpin dengan hikmah.

Islam sebagai ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ (rahmat bagi semesta alam) menuntut umat Islam untuk bertindak dengan penuh hikmah, cermat dan meletakkan sesuatu isu pada tempatnya yang sebenar.

DHPP sentiasa terbuka dan menghormati apa jua tindakan yang dilaksanakan melalui saluran peraturan serta penguatkuasaan undang-undang yang sah.

Inilah pendekatan yang lebih tepat, matang dan selari dengan semangat Islam serta realiti masyarakat majmuk Malaysia.

Semoga semua pihak dapat mendekati isu ini dengan kebijaksanaan, kematangan, dan keutamaan terhadap keharmonian masyarakat.

Dr Balachandran Gopal Krishnan
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP)