• April 1, 2026 8:21 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Respons Kepada Kenyataan Punithan – MIPP

Sep 16, 2025

Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan atas kenyataan bahawa PAS berpotensi untuk menerajui negara pada masa akan datang.

Itu merupakan satu pengiktirafan yang kami hargai.

Namun begitu, sebelum memberi pandangan tentang PAS, adalah lebih wajar sekiranya MIPP terlebih dahulu bercermin dan menilai keadaan dalam parti sendiri.

Adalah lebih baik jika MIPP menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan kredibiliti dalaman serta memahami dinamika komponen masing-masing yang nyata masih memerlukan penambahbaikan.

Untuk memberi pandangan mengenai PAS, seseorang perlu terlebih dahulu memahami dengan mendalam dasar perjuangan PAS, prinsip yang menjadi pegangan, sejarah panjang perjalanan parti ini, serta pencapaian yang telah terbukti dalam pentadbiran dan khidmat kepada rakyat.

PAS bukanlah sebuah parti baharu yang masih mencari tapak.

Ia telah melalui puluhan tahun cabaran politik, membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan baik, serta membina asas akar umbi yang kukuh.

Berlandaskan prinsip Islam yang konsisten, PAS terus menampilkan kepimpinan yang berintegriti dan istiqamah dalam membela rakyat tanpa mengorbankan dasar perjuangan.

Justeru, sebelum mengeluarkan penilaian yang bersifat umum, adalah wajar bagi MIPP memastikan kefahaman yang menyeluruh terhadap realiti politik semasa serta konteks perjuangan PAS.

Dengan itu, barulah pandangan yang dikemukakan akan lebih bernilai, berwibawa, dan tidak sekadar menjadi ulasan dari pinggiran.

Dr. Balachandran Gopal Krishnan
Ketua Penerangan DHPP Pusat