• April 1, 2026 3:45 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

DHPP Sedia Jadi Penggerak Utama Kaum Bukan Islam

Sep 13, 2025

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Balasubramaniam Nachiappan menegaskan sudah tiba waktunya kepimpinan DHPP negeri dan kawasan diberi nafas baharu bagi memperkukuh pengaruh politik serta mendekatkan masyarakat bukan Islam dengan perjuangan PAS.

Menurut beliau, DHPP tidak boleh hanya bergantung kepada struktur pusat dalam menghadapi pilihan raya, sebaliknya pemimpin di akar umbi mesti menjadi tenaga penggerak utama yang membina kekuatan politik dari bawah ke atas.

“Pemimpin DHPP di setiap peringkat mesti tampil sebagai jurucakap kepada suara masyarakat bukan Islam yang selama ini sering terpinggir oleh sistem politik berat sebelah.

“Kita mesti menjadi jambatan antara masyarakat majmuk dengan PAS, membawa naratif politik matang, damai dan solutif,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS yang berlangsung di Dewan Gandhi, di sini hari ini.

Mengakar ke Lapangan, Bukan Sekadar Simbolik

Balasubramaniam menekankan bahawa kepimpinan DHPP di peringkat negeri dan kawasan perlu diperkasakan dengan latihan dalam bidang komunikasi, advokasi masyarakat, pengurusan krisis serta strategi kempen pilihan raya.

“Kita perlukan pemimpin yang bukan sekadar dikenali, tetapi dihormati kerana kerja mereka di lapangan.

“DHPP mesti melahirkan tokoh yang boleh berdiri sebagai suara masyarakat bukan Islam, sekaligus mengangkat imej PAS sebagai parti untuk semua,” jelasnya.

Beliau turut membuka ruang perbincangan serius mengenai potensi calon DHPP diketengahkan dalam pilihan raya akan datang, sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

“Ini bukan soal kuota, tetapi soal mesej bahawa PAS bersedia menjadi kerajaan untuk semua, dengan melibatkan pelbagai latar masyarakat,” tambahnya.

Sejarah & Peranan: Dari Kelab Penyokong PAS ke DHPP

DHPP bukanlah entiti asing dalam struktur PAS.

Ia bermula sebagai Kelab Penyokong PAS sekitar tahun 2004, sebelum dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Pendukung PAS pada 2010, setaraf dengan dewan-dewan utama PAS seperti Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda.

Langkah ini membuktikan keterbukaan PAS dalam meraih penyertaan aktif daripada masyarakat bukan Islam tanpa perlu meninggalkan agama masing-masing.

Falsafah ini dizahirkan melalui slogan PAS For All, yang menekankan bahawa perjuangan PAS bukan hanya untuk umat Islam, tetapi demi sebuah negara yang adil, sejahtera dan berkebajikan untuk semua rakyat.

Islam Rahmat untuk Semua

Keterlibatan masyarakat bukan Islam dalam DHPP juga adalah bentuk dakwah secara praktikal.

Mereka dapat menyaksikan sendiri bahawa Islam bukan sekadar slogan, tetapi realiti dalam pentadbiran, kebajikan, dan keadilan sosial.

Sejarah perjuangan Islam sendiri menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menghormati hak-hak bukan Islam di bawah Piagam Madinah, bahkan menegakkan keadilan untuk semua pihak, termasuk yang menentangnya.

Prinsip ini diteruskan oleh PAS melalui DHPP, yang berperanan sebagai jambatan politik dan dakwah dalam masyarakat majmuk.

Melahirkan Duta Islam Inklusif

Balasubramaniam menegaskan bahawa DHPP perlu melahirkan tokoh-tokoh baharu daripada kalangan bukan Islam yang memahami perjuangan PAS, sekaligus mampu menjadi duta kepada prinsip Islam yang inklusif dan adil.

“DHPP mesti melahirkan suara yang membawa naratif politik damai, berintegriti, dan berlandaskan keadilan.

“Inilah wajah sebenar perjuangan Islam yang kita mahu tunjukkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Konvensyen tersebut turut dihadiri pemimpin DHPP dari seluruh negara, menandakan kesediaan sayap itu untuk menjadi jambatan perpaduan, menyulam kekuatan bersama dalam membina Malaysia yang lebih adil dan sejahtera.