• April 1, 2026 9:54 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Tuduhan Waytha Moorthy Satu Penghinaan, DHPP Pusat Bangkit Menjawab

Sep 8, 2025

Tuduhan yang dilemparkan Presiden Parti Malaysian Advancement Party (MAP), Waytha Moorthy terhadap kepimpinan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dianggap sebagai satu penghinaan dan cubaan memperlekehkan peranan sayap bukan Islam dalam PAS.

Ketua DHPP Pusat, Balasubramaniam Nachiappan tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Waytha yang kononnya menuduh kepimpinan India dalam DHPP terdiri daripada individu tidak berpendidikan dan tidak mempunyai rekod khidmat masyarakat.

Menurut Balasubramaniam, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak benar, bahkan menafikan hakikat bahawa DHPP merupakan wadah rasmi yang mewakili seluruh masyarakat bukan Islam di Malaysia.

“PAS telah memperkukuh kedudukan DHPP dengan melantik wakil sebagai pegawai khas di negeri-negeri yang ditadbir PAS.

Tujuannya jelas, iaitu memastikan hak-hak masyarakat bukan Islam sentiasa terpelihara dan tidak terpinggir.

Rekod menunjukkan DHPP berjaya menyelesaikan pelbagai isu yang membabitkan masyarakat bukan Islam dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Kepimpinan Berpendidikan dan Berwibawa

Balasubramaniam menyifatkan kenyataan Waytha sebagai “terlalu tersasar” dan tidak mencerminkan realiti sebenar.

Beliau menjelaskan bahawa kepimpinan DHPP datang daripada pelbagai latar belakang profesional termasuk doktor, jurutera, peguam, usahawan, pemegang PhD, aktivis masyarakat serta anak muda graduan universiti.

“Mereka bukan sahaja berpendidikan tinggi, malah telah lama berkhidmat untuk masyarakat dengan penuh dedikasi.

Mengatakan sebaliknya adalah penghinaan yang tidak wajar,” tegas beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara.

Bagi DHPP, kepimpinan tidak boleh diukur semata-mata pada kelayakan akademik.

Sebaliknya, faktor keikhlasan, kesungguhan, dan pengalaman lapangan adalah lebih utama dalam perjuangan politik.

“Ramai tokoh besar dunia lahir daripada gerakan masyarakat, bukan semata-mata kelayakan atas kertas,” ujarnya.

Waytha Gagal Membawa Agenda Masyarakat India

Balasubramaniam dalam masa yang sama mengingatkan Waytha agar “bercermin diri” sebelum menuding jari kepada orang lain.

Menurutnya, sewaktu menjawat jawatan sebagai Menteri Perpaduan, Waytha gagal membawa agenda besar masyarakat India seperti yang diharapkan.

“Beliau akhirnya meletakkan jawatan tanpa meninggalkan legasi membanggakan.

Hari ini pula parti MAP yang dipimpinnya tidak mempunyai kepimpinan lain selain dirinya sendiri.

Itu jelas menggambarkan kegagalannya membina pelapis dan mendapatkan kepercayaan masyarakat India,” tegasnya.

DHPP Kekal Komited Bawa Suara Bukan Islam

Menolak sekeras-kerasnya tuduhan Waytha Moorthy, DHPP menegaskan akan terus komited menjadi jambatan perpaduan dengan membawa suara masyarakat bukan Islam, khususnya komuniti India, melalui pendekatan inklusif, berhemah, dan berfakta.

“Kami menyeru semua pihak supaya menghentikan politik fitnah dan penghinaan.

Rakyat berhak menikmati politik yang matang, membina dan berpandangan jauh,” kata Balasubramaniam menutup kenyataan itu.