Pejabat Menteri Besar Terengganu hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tersebar di media sosial melibatkan satu hantaran palsu yang dikaitkan dengan YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, berhubung kenyataan yang tidak pernah dibuat oleh beliau.
Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Encik Mohd Nasir bin Abd Razak, kapsyen yang dimuat naik oleh satu laman tertentu jelas merupakan satu fitnah jahat yang bukan sahaja berniat memburukkan reputasi YAB Menteri Besar, malah berpotensi mencemarkan imej dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin kerajaan negeri.
“YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau posting seperti yang telah disebarkan oleh laman berkenaan.
“Penyebaran kandungan palsu ini adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang,” tegas beliau dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar menuntut agar siaran tersebut ditarik balik serta-merta, dan menyeru semua pihak untuk berhenti menyebarkan kandungan yang tidak sahih.
Tindakan lanjut termasuk laporan polis atau tindakan undang-undang akan dipertimbangkan sekiranya fitnah tersebut terus disebarluaskan.
Kenyataan ini turut menjadi peringatan kepada pengguna media sosial agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menyemak serta menyebarkan maklumat, khususnya yang membabitkan pemimpin dan tokoh awam.
“Sebagai rakyat Malaysia yang bertamadun, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keharmonian masyarakat dan tidak menyumbang kepada penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan fitnah,” tambah Mohd Nasir.
Insiden ini menambah lagi senarai cabaran terhadap integriti komunikasi dalam era digital, di mana maklumat boleh diputarbelit dan dimanipulasi dengan begitu mudah, sekaligus menjadi senjata politik bagi pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pihak kerajaan negeri menggesa masyarakat supaya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan pengesahan sesuatu kenyataan, dan tidak mudah terpengaruh dengan manipulasi media yang bersifat provokatif.