• April 1, 2026 11:20 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Kelas ILHAM DHPP Terengganu Berjaya Mencapai Matlamat Persefahaman Antara Agama

Jan 11, 2025

Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr. Balachandran, telah menyampaikan sesi Kelas Sijil Asas Kefahaman Islam (ILHAM DHPP) Modul ke-4 bertajuk “Islam dan Persefahaman antara Agama” semalam di Markas Tarbiyah Kuala Ibai.

Program ini berlangsung dengan jayanya, menandakan penutup bagi siri modul kumpulan peserta tersebut sebelum mereka melangkah ke majlis konvokesyen.

Sesi pembelajaran ini dihadiri oleh 13 Ahli Jawatankuasa (AJK) DHPP Terengganu yang menunjukkan komitmen tinggi dalam mendalami kefahaman asas mengenai Islam, khususnya dalam aspek yang menyentuh hubungan antara agama.

Selain itu, turut hadir mengikuti kursus ialah Setiausaha DHPP Pusat, Saudara Hareetaran JRaman, yang memberikan sokongan kepada usaha memperkukuhkan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Modul ke-4 ini bertujuan meningkatkan pemahaman tentang peranan Islam dalam membina persefahaman antara agama.

Perbincangan dan penerangan dalam sesi ini merangkumi aspek penting seperti toleransi, saling menghormati, dan keadilan sosial yang menjadi teras kepada keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Program ini merupakan usaha penting DHPP dalam memperkukuh hubungan antara komuniti berbilang agama di negeri ini.

Dengan ilmu yang diperoleh, peserta diharapkan dapat memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam menyebarkan mesej keamanan dan persefahaman.

Konvokesyen bagi kumpulan ini dijadualkan berlangsung di Gombak pada pertengahan tahun ini, di mana mereka akan menerima Sijil Asas Kefahaman Islam ILHAM.

Penganugerahan sijil ini bukan sahaja mengiktiraf usaha dan dedikasi mereka, tetapi juga menjadi simbol penting dalam usaha DHPP mendidik dan memupuk nilai harmoni dalam kalangan masyarakat.

Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk memperkukuhkan perpaduan antara agama, sejajar dengan nilai Islam yang rahmatan lil ‘alamin.