• June 2, 2025 9:17 am

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Gotong Royong Menceriakan Perkuburan Hindu Di Jalan Pusara, Kuala Terengganu

Oct 20, 2024

Dalam satu usaha murni untuk meningkatkan kebersihan dan menceriakan persekitaran, Malaysia Hindu Sangam Terengganu, dengan kerjasama Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) Terengganu dan Kelab Kebudayaan Baratham Universiti Malaysia Terengganu (UMT), telah menganjurkan program gotong royong di perkuburan Hindu yang terletak di Jalan Pusara, Kuala Terengganu.

Program ini disertai oleh beberapa orang sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk anggota komuniti Hindu, pemimpin tempatan, dan mahasiswa UMT.

Matlamat utama program ini adalah untuk membersihkan kawasan perkuburan, menceriakan suasana, dan membina kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan tempat persemadian.

Para peserta bermula seawal pagi dengan membawa pelbagai peralatan pembersihan seperti penyapu, cangkul, dan alat pemotong rumput.

Mereka turut melibatkan diri dalam aktiviti seperti menyusun semula batu nisan dan menghias kawasan perkuburan dengan bunga serta tumbuhan hijau.

Suasana penuh semangat kerjasama dan kesukarelawanan dapat dilihat apabila semua peserta bekerja dengan gigih tanpa mengira latar belakang.

Sementara itu, Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan berkata, “Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Malaysia Hindu Sangam dan Kelab Kebudayaan Baratham.

“Aktiviti ini menunjukkan bahawa kita semua boleh bersatu dalam menjayakan sesuatu yang baik untuk masyarakat. Kebersihan adalah tanggungjawab bersama.”

Program ini mendapat sambutan positif dari penduduk setempat yang menghargai usaha yang dilakukan untuk memperindah kawasan perkuburan yang sering dilupakan.

Dengan terlaksananya program gotong royong ini, diharapkan agar kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan persekitaran dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat, sekaligus memperkukuh semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.