• June 26, 2025 4:03 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Program ‘PAS FOR ALL’ Perkukuh Perpaduan Bersama Komuniti India Di Semenyih

Oct 2, 2024

Program “PAS FOR ALL” terus bergema dengan semangat perpaduan dalam satu acara khas, Program Kasih Semenyih bersama Komuniti India di DUN Semenyih, yang dianjurkan oleh Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) N24 Semenyih.

Program tersebut berlangsung di bawah pimpinan YB Ustaz Nushi Mahfodz, dengan En. Poobalan bertindak sebagai penyelaras program selaku Pegawai Khas Kaum India DUN Semenyih.

Program ini berfokus kepada penerangan mengenai usaha-usaha Pejabat ADN dalam menyantuni komuniti India di kawasan tersebut.

Selain itu, majlis turut menampilkan penganugerahan “Young Indian Personalities of N24 Semenyih” kepada 10 anak muda yang cemerlang dalam bidang sukan dan pendidikan, sebagai tanda penghargaan terhadap bakat serta usaha mereka.

Beberapa tokoh penting turut hadir bagi menyokong dan memeriahkan acara ini. Antaranya ialah Dato’ Dr. PannirSelvam, Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor dan Ketua DHPP Hulu Langat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan, Ketua Penerangan DHPP Pusat, serta Dr. Loh, Ketua DHPP Melaka.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Dr. Balachandran, beliau menegaskan bahawa PAS adalah pilihan terbaik bagi masyarakat bukan Islam yang ingin merasai keadilan dan kesejahteraan yang sebenar.

Beliau menyatakan bahawa PAS berpegang kepada prinsip keadilan berdasarkan al-Quran dan sunnah, yang menjadikannya parti yang mampu membawa keadilan sejati dalam pentadbiran negara.

“Orang bukan Islam tidak ada pilihan lain. Jika mereka mahu merasai keadilan dan tidak dipinggirkan, mereka harus memilih PAS,” tegas Dr. Balachandran dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, PAS adalah parti yang dapat memberi jaminan keadilan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama atau bangsa, seiring dengan moto “PAS FOR ALL”.