• June 26, 2025 1:09 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Politik Islam Yang Dimuliakan Allah, Dihukum Kotor

Aug 19, 2024

Allah SWT menetapkan bahawa politik adalah salah satu daripada tiga tujuan manusia diciptakan; ibadah, khilafah dan amanah.

Ketiga-tiga tujuan ini menjadi sebab sempurnanya Islam yang ditugaskan kepada para nabi untuk memimpin manusia.

Allah SWT menyatakan tujuan ibadah melalui firman-Nya:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”

[Surah al-Zariyat: 56]

Beribadah dengan maksud memperhambakan diri dalam semua aspek kehidupan manusia yang menjadi makhluk Allah atas sifat fitrahnya.

Tujuan khilafah pula dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji dan menyucikan-Mu?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’”

[Surah al-Baqarah: 30]

Khilafah itu ialah kewajipan politik untuk mentadbir urusan dunia dengan berpandukan agama Allah.

Kewajipan ini diisytiharkan kepada para malaikat yang mulia bahawa ia menjadi tugas makhluk manusia kerana sifat fitrahnya.

Adapun tujuan amanah pula dinyatakan oleh firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢

“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan amanah itu hanya sanggup dipikul oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”

[Surah al-Ahzab: 72]

Manusia diberikan amanah untuk melaksanakan hukum Allah yang adil kepada semua.

Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

[Surah al-Nisa’: 58]

Khilafah itu ialah siasah yang bermakna politik, tugas yang diwajibkan kepada manusia yang menjadi hamba Allah (ibadat).

Bercirikan masyarakat yang mentadbir urusan kehidupan duniawi yang menjadi jambatan ke akhirat, sama ada menuju ke syurga ataupun ke neraka.

Maka, para anbiya’ AS dipilih membawa petunjuk daripada Allah kepada manusia.

Firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana melampau (sempadan Allah) antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

[Surah al-Baqarah: 213]

Tiba-tiba, tugas yang mulia ini dianggap kotor oleh manusia yang sengaja mengotorkannya.

Mereka meninggalkan petunjuk Allah dan mengikut hawa nafsu kesyaitanan yang menolak tugas manusia kerana kesombongannya.

Al-Quran membawa cerita benar perjuangan para anbiya’ berdakwah membawa hidayah daripada Allah kepada manusia.

Pada masa yang sama, mereka berdepan dengan pihak berkuasa pada zaman masing-masing yang dinamakan raja atau golongan al-mala’.

Para anbiya’ berdakwah supaya seluruh manusia beriman kepada Allah dan mengikut petunjuk-Nya yang sempurna dalam semua urusan kehidupan.

Termasuklah dari sudut hubungan dengan Allah Pencipta alam dan segala urusan dunia. Malah, diamanahkan kepada mereka supaya berpolitik melaksanakan hukum yang adil dan perkara tersebut menjadi ujian yang akan dihisab di hadapan Allah kelak, sebagaimana firman-Nya:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam tangan-Nya (genggaman kekuasaan-Nya) sahaja berada segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1)

(Dialah Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)”

[Surah al-Mulk: 1-2]

Ayat di atas ditafsirkan oleh sabda Rasulullah SAW:

كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu, pemimpin yang mentadbir urusan politik mereka dalam kalangan para anbiya’. Setelah wafat seorang nabi, maka digantikan dengan nabi yang lain selepasnya (secara silih berganti). Tiada lagi nabi selepas diriku (Muhammad SAW), namun akan ada para khalifah (pemimpin) atau raja-raja yang ramai (bukan daripada kalangan nabi). Dan jumlah mereka itu amatlah ramai.

قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟

Para sahabat bertanya, ‘Apakah pesanan kamu kepada kami?’

قَالَ: أَوفُوا بِبَيعَةِ الأَوَّلِ فالأَوَّلِ، ثُمَّ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، ‌وَاسْأَلُوا ‌اللَّه ‌الَّذِي ‌لَكُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.

Sabda Baginda SAW, ‘Tunaikan baiah (janji kesetiaan) kepada yang terawal dan kemudian yang berikutnya. Tunaikan kewajipan yang menjadi hak mereka. Dan mohonlah kepada Allah agar ditunaikan hak kamu. Mereka akan dipertanggungjawabkan dan disoal oleh Allah akan segala kewajipan mereka (pada Hari Kiamat nanti).’”

[Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya; No. 3455 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1842, daripada Abu Hurairah]

Ada dalam kalangan nabi menjadi khalifah seperti Nabi Dawud AS dan Nabi Muhammad SAW yang diikuti oleh para sahabatnya.

Ada pula nabi yang menjadi raja iaitu Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain yang menjadi raja yang adil seperti yang ditunjuki oleh Allah SWT.

Bahkan, Rasulullah SAW mengekalkan raja-raja yang memeluk Islam dan memerintah dengan petunjuk Allah seperti Raja Oman, Raja Habsyah dan lain-lain.

Imam al-Ghazali RH menegaskan mengapa politik diwajibkan dalam kitabnya, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama (Islam) itu menjadi asas yang kukuh, adapun sultan (kuasa pemerintahan yang mempunyai kuasa politik) pula menjadi pengawalnya. Suatu perkara yang tiada asasnya, pasti akan runtuh (binasa); manakala suatu perkara yang tiada pengawalnya akan hilang.”

[Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128]

Allah menegaskan kesempurnaan agama Islam sehingga tidak mampu dicabar melalui firman-Nya:

…ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ …٣

“…Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, telah Aku cukupkan kepada kamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagi kamu…”

[Surah al-Ma’idah: 3]

Khalifah ‘Uthman RA menegaskan bahawa kuasa politik sebuah kerajaan yang berkuasa, melengkapkan kesempurnaan ajaran al-Quran dalam perkara yang tidak dinaskan:

إِنَّ اللَّهَ لَيَزَعُ بِالسُّلْطَانِ ‌مَا ‌لَا ‌يَزَعُ ‌بِالْقُرْآنِ.

“Sesungguhnya, Allah menugaskan kuasa pemerintahan (politik) pada perkara yang tidak diambil tindakan melalui perintah al-Quran.”

[Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 2, Hlm. 12]

Dalam pada itu, Rasulullah SAW telah meninggalkan pusaka ilmu untuk dijadikan teladan dalam semua perkara termasuk dalam aspek politik.

Firman Allah SWT:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut-nyebut Allah.”

[Surah al-Ahzab: 21]

Negara yang diberi nama Madinah merupakan teladan politik masyarakat madani yang sebenar.

Ia telah berjaya mencapai kejayaan, sehingga kedatangan Islam dianggap sebagai penyelamat kepada seluruh dunia, bukannya konsep penjajahan yang menjadi prinsip semua ideologi dan ajaran selain Islam.

Perkataan ‘madani’ bukannya slogan kosong, tetapi dijadikan objektif dalam perjuangan dakwah dan jihad.

Seterusnya, konsep madani dalam erti kata menegakkan Islam yang sempurna dalam bentuk kenegaraan mengikut hidayah Allah, bukannya kesesatan syaitan yang bertuhankan nafsu.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa tugas politik memimpin negara adalah perkara pertama yang mendapat naungan rahmat Allah di padang Mahsyar pada Hari Kiamat nanti.

Baginda bersabda:

سَبْعَةٌ ‌يُظِلُّهُمُ ‌اللَّهُ ‌فِي ‌ظِلِّهِ، ‌يَوْمَ ‌لَا ‌ظِلَّ ‌إِلَّا ‌ظِلُّهُ: الإِمَامُ العَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي المَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ، أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.

“Terdapat tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat kelak, saat tiada naungan selain naungan-Nya. Pertama, imam (pemimpin) yang adil. Kedua, seorang pemuda yang beribadat kepada Allah. Ketiga, seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut (bergantung) dengan masjid. Keempat, dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah; bertemu dan berpisah kerana-Nya. Kelima, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita cantik dan mempunyai kedudukan untuk berzina, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya, aku takut akan Allah.’ Keenam, seorang lelaki (pemurah) yang bersedekah secara sembunyi hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya. Ketujuh, seorang lelaki yang mengingati Allah dalam keheningan malam, kemudian menitiskan air mata kerana takut akan Allah.”

[Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, No. 660 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, No. 1031, daripada Abu Hurairah]

Adapun kejatuhan Kerajaan Islam sehingga tanah airnya dijajah berlaku, disebabkan mereka meninggalkan urusan politik kenegaraan.

Keadaan ini berlaku apabila ajaran Islam ditinggalkan oleh kerajaannya atau dilaksanakan secara tidak sempurna kerana digoda oleh syaitan sebagaimana amaran yang diberikan oleh Allah melalui firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”

[Surah al-Baqarah: 208]

Demikian juga Rasulullah SAW memberi amaran melalui sabdanya:

لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Demi sesungguhnya akan berlaku, ajaran Islam yang diikat laksana simpulan tali yang kukuh akan dirungkai satu demi satu. Maka, apabila setiap satunya dirungkai, maka ia menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Simpulan pertama yang dirungkai ialah (pelaksanaan) hukum Islam (oleh pemerintah Islam) dan simpulan terakhir yang dirungkai ialah (pelaksanaan) solat.”

[Ahmad, Musnad Ahmad, No. 22160 dan Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, No. 4866, daripada Abu Umamah al-Bahili RA]

Betapa eratnya hubungan politik dalam ajaran Islam sehingga pergerakannya dimulakan oleh Rasulullah SAW di Masjid Nabawi.

Kemudiannya, diikuti oleh para khalifah Islam dan raja-raja yang berpegang teguh kepada agama Islam yang sempurna, berdaulat dan berkuasa dalam sebuah pemerintahan negara.

Penulisan para orientalis yang berperanan pada zaman penjajah mendedahkan bahawa pemisahan politik daripada agama Islam sengaja dilaksanakan terhadap umat Islam yang dijajah.

Pemisahan tersebut berlaku melalui pelaksanaan ideologi sekularisme yang termaktub dalam kitab Injil yang telah dirosakkan untuk menyesatkan agama Kristian.

Kuasa agama Islam yang berada di bawah raja-raja dan ketua negara Islam dirampas apabila dilengahkan.

Hanya tinggal kuasa dalam urusan ibadat dan kekeluargaan sahaja.

Para ulama’ dilarang mengajar politik Islam dengan peraturan yang dinamakan tauliah mengajar agama untuk melarang berpolitik di masjid.

Tujuannya supaya urusan politik negara sepenuhnya di bawah kuasa penjajah serta dapat melemahkan perjuangan menentang penjajah.

Umat Islam terus tenggelam dalam kejahilan agama, para ulama’ upahan penjajah pula digunakan untuk menyebarkan ajaran sesat yang memisahkan politik daripada agama Islam yang sempurna.

Berlakunya amaran Allah bahawa musuh Islam akan mempengaruhi penganut Islam dengan ajaran sesat yang memesongkan mereka daripada agama Islam yang sebenar daripada Allah.

Firman Allah SWT:

وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠

“Dan Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan sebagai saksi terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah hukum antara mereka menurut apa yang Allah telah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan syariat dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah dalam berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kamu semua akan kembali, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48)

Dan hendaklah kamu memutuskan hukum antara mereka menurut apa-apa yang telah diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti kehendak hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49)

Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang mempunyai keyakinan? (50)”

[Surah al-Ma’idah: 48-50]

Walaupun kita dikatakan telah mengecapi kemerdekaan, fikiran umat Islam masih dijajah oleh fahaman penjajah yang menyesatkan apabila politik dianggap tidak penting, sehingga tidak dipedulikan dan dianggap kotor.

Bahkan, apabila adanya pilihan raya tidak dipedulikan.

Maka, musuh Islam berjaya mengambil alih kuasa politik negara dengan mudah tanpa menggunakan senjata seperti zaman dahulu.

Keadaan ini berlaku apabila penganut Islam tidak keluar mengundi, sedangkan masyarakat bukan Islam semuanya keluar mengundi bagi merampas kuasa politik.

Umat Islam hendaklah sedar betapa pentingnya politik dalam Islam, sehingga Rasulullah SAW menangguhkan ibadat umrah dan haji kerana menunggu kemenangan politik hasil daripada Perjanjian Hudaibiyyah dan Fathu Makkah.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS