• June 26, 2025 4:10 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Pembinaan Pembangunan Ketamadunan Negara Islam

Jul 10, 2024

بسم الله الرحمن الرحيم

Muqaddimah

Tamadun berasal daripada perkataan Arab tamaddana (تَمَدَّنَ), daripada perkataan asal madana (مَدَنَ).

Daripada situ, lahirnya perkataan madinah (مَدِيْنَة) yang bererti bandar, mudun (مُدُن) atau mada’in (مَدَائِن) yang bererti bandar-bandar atau perkataan madani (‌مَدَنِيّ) mengikut Islam, yakni masyarakat yang mempunyai kemajuan dari segi lahiriah dan rohaniah yang perlu berhimpun di suatu tempat yang dinamakan madinah (bandar).

Perkataan tamaddun (تَمَدُّن) atau tamadun dapat diertikan kepada keadaan hidup bermasyarakat yang bertambah maju.

Ibn Khaldun menulis dalam kitabnya, al-Muqaddimah:

‌الْإِنْسَانُ ‌مَدَنِيٌّ ‌بِالطَّبْعِ

“Manusia itu bersifat madani (bermasyarakat dan bertamadun) dari segi tabiinya (sifat semula jadinya).”

[Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, Jld. 1 (al-Muqaddimah), Hlm. 54]

Hal ini menepati maksud firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam AS) dan seorang perempuan (Hawwa’ AS) serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” 

[Surah al-Hujurat: 13]

Manusia wajib berhubungan sesama mereka secara bermasyarakat yang diciptakan berbagai-bagai rupa dan fahaman yang memerlukan perhubungan dan pengalaman, di samping kelemahan setiap makhluk yang berhajat kepada petunjuk Allah Pencipta alam.

Al-Quran ialah mukjizat ilmu yang dikurniakan kepada rasul akhir zaman untuk seluruh manusia yang diberikan akal dan sedikit ilmu, agar mereka dapat menghayati kehidupan bermasyarakat dengan petunjuk Allah (hidayah).

Islam membahagikan ilmu kepada tiga aspek iaitu ilmu wahyu, ilmu akal dan ilmu yang berdasarkan pengalaman.

Seterusnya, dibahagikan pula kepada dua kategori iaitu fardu ‘ain dan fardu kifayah bagi melaksanakan tujuan penciptaan manusia, iaitu beribadat, berkhilafah, dan menunaikan amanah.

Melalui ilmu wahyu dalam al-Quran, ditunjukkan iktibar daripada pengalaman sepanjang sejarah manusia dalam bertamadun kepada dua contoh; Islam dan jahiliah.

Rasulullah SAW menukar nama Yathrib atau Taibah, iaitu tempat berlakunya hijrah kepada Madinah.

Setelah itu, Baginda berjaya menghimpunkan masyarakat majmuk yang dipimpin oleh Islam, ajaran Allah yang paling sempurna kepada seluruh manusia.

Islam memerintah berkonsepkan tiada paksaan menganut Islam dan melaksanakan konsep adil kepada segala aspek yang berprinsipkan aqidah, syariah, dan akhlak.

Al-Quran membawa contoh tamadun Islam yang awal seperti kerajaan Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain, manakala contoh tamadun jahiliah pula adalah lebih banyak daripada semua kerajaan yang menentang para anbiya’ seperti Namrud (Babylon), Firaun (Mesir), dan lain-lain sama ada secara individu mahupun al-mala’ (berkumpulan).

Contoh Islam bertamadun dimulakan dengan menetapkan tujuan manusia diciptakan, perkara ini mengikut firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢

“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa. (21)

Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Oleh kerana itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. (22)” 

[Surah al-Baqarah: 21–22]

Selain itu, manusia juga diciptakan bertujuan khilafah (mentadbir urusan dunia dengan agama) mengikut firman Allah SWT yang diisytiharkan kepada para malaikat:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” 

[Surah al-Baqarah: 30]

Khilafah bermaksud menegakkan agama Allah, iaitu Islam dan mentadbir urusan dunia dengannya.

Seterusnya, Allah SWT menegaskan amanah besar dalam menegakkan negara melalui firman-Nya:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya,, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58)

Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulu al-amri antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” 

[Surah al-Nisa’: 58–59]

Allah juga menyatakan peranan para ilmuwan dan pemimpin untuk mengendalikan urusan umat berdasarkan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat yang membezakan Islam dengan fahaman yang lain.

Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢

“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” 

[Surah al-Ahzab: 72]

Negara Hidayah dan Negara Jibayah

Sheikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi RH membahagikan negara kepada dua jenis:

  1. Negara hidayah.
  2. Negara jibayah.

Negara hidayah berpandukan petunjuk Allah yang beriman kepada adanya keberkatan apabila manusia itu beriman dan bertaqwa.

Firman Allah SWT:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦

“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” 

[Surah al-A‘raf: 96]

Negara hidayah juga berasaskan pembangunan manusia dengan meletakkan keutamaan kepada aqidah, syariat dan akhlak. Adapun negara jibayah pula berasaskan kebendaan semata-mata, meletakkan keutamaan kepada hasil harta melalui sumber alam atau cukai yang dipungut daripada rakyat.

Konsep negara hidayah ditafsirkan daripada ucapan Nabi Sulaiman AS dalam firman Allah SWT yang berikut:

قَالَ ٱلَّذِي عِندَهُۥ عِلۡمٞ مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبۡلَ أَن يَرۡتَدَّ إِلَيۡكَ طَرۡفُكَۚ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسۡتَقِرًّا عِندَهُۥ قَالَ هَٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّي لِيَبۡلُوَنِيٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيّٞ كَرِيمٞ ٤٠

“Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada al-Kitab, ‘Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.’ Maka, tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata, ‘Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau mengingkari (ni‘mat-Nya). Dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya, dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan sesiapa yang ingkar, maka sesungguhnya, Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.’” 

[Surah al-Naml: 40]

Malah, juga diambil daripada ucapan Raja Zulqarnain sebagaimana firman Allah SWT yang berikut:

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيۡرٞ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجۡعَلۡ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَهُمۡ رَدۡمًا ٩٥

“Zulqarnain berkata, ‘Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding di antara kamu dan mereka.’” 

[Surah al-Kahfi: 95]

Adapun negara bertamadun jahiliah adalah negara yang tidak berilmu atau menjadikan ilmu akal tanpa hidayah dan bercirikan asas kebendaan.

Hasil kekayaan pula digunakan dan diurus dengan nafsu yang kadang-kadang mengatasi akal.

Keadaan ini disimpulkan oleh firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤


“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6)

(Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7)

Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. (8)

Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9)

Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10)

Yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri. (11)

Lalu mereka berbuat banyak kerosakan di dalam negeri itu. (12)

Kerana itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13)

Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” 

[Surah al-Fajr: 6–14]

Begitu juga ucapan Firaun yang dirakamkan oleh firman Allah SWT:

وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤

“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku, bukankah Kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka adakah kamu tidak melihatnya? (51)

Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52)

Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringinya?’ (53)

Maka, Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu), lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya, mereka ialah kaum yang fasiq. (54)” 

[Surah al-Zukhruf: 51–54]

Ucapan ini berprinsipkan duniawi dan kebendaan, berkonsepkan kediktatoran (dictatorship) secara individu atau kolektif, serta bertopengkan demokrasi bagi menipu dan membodohkan rakyat. Tamadunnya dibina di atas kalangan rakyat yang tertindas.

Tamadun Islam Bercirikan Aqidah Dan Ilmu Yang Bermanfaat

Allah membawa suatu iktibar daripada cerita Bani Isra’il yang beraqidah kebendaan. Firman Allah SWT:

وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” 

[Surah al-Baqarah: 247]

Penubuhan Negara Mithali Yang Bertamadun

Allah SWT berjanji dengan firman-Nya:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” 

[Surah al-Nur: 55]

Hala tuju (road map) ketetapan Allah SWT ialah seperti berikut:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40)

(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” 

[Surah al-Hajj: 40–41]

Berdasarkan ayat ini, negara bertamadun Islam itu bercirikan sifat rabbani, adil, menyeluruh, amar ma‘ruf, nahi munkar (kehebatan syariat), serta berwawasan daripada dunia hingga akhirat.

Rasulullah Saw Menolak Tawaran Negara Jibayah Yang Bukan Islam

Kalangan bukan Islam pada zaman Rasulullah SAW tidak percaya kepada janji Allah dan tawaran Baginda yang benar, walaupun mereka mengakui ketinggian peribadi Rasulullah SAW.

Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧

“Dan mereka berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami.’ Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka di dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mengetahui.” 

[Surah al-Qasas: 57]

Bahkan, mereka bersedia menyerahkan kuasa kepada Rasulullah SAW sama ada menabalkan Baginda menjadi raja ataupun pemimpin dengan tawaran harta kekayaan tanpa mendaulatkan Islam mengikut panduan Allah.

Namun, Rasulullah SAW bersabda kepada bapa saudaranya, Abu Talib yang membawa tawaran itu:

يَا عَمُّ، وَاَللَّهِ ‌لَوْ ‌وَضَعُوا ‌الشَّمْسَ ‌فِي ‌يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ، مَا تَرَكْتُهُ.

“Wahai bapa saudara kesayanganku, demi Allah, sekiranya mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini (mendaulatkan Islam), sehinggalah Allah memberikan kemenangan atau aku mati dalam perjuangan (sebelum melihat kejayaannya), nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini!” 

[Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 266]

Dalam pada itu, Allah SWT juga mewahyukan kepada Rasulullah SAW supaya menolak cabaran mereka yang membawa kesenangan atau balasan bersifat kebendaan bagi menyokong perjuangan Islam dengan firman-Nya:

وَقَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفۡجُرَ لَنَا مِنَ ٱلۡأَرۡضِ يَنۢبُوعًا ٩٠ أَوۡ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٞ مِّن نَّخِيلٖ وَعِنَبٖ فَتُفَجِّرَ ٱلۡأَنۡهَٰرَ خِلَٰلَهَا تَفۡجِيرًا ٩١ أَوۡ تُسۡقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمۡتَ عَلَيۡنَا كِسَفًا أَوۡ تَأۡتِيَ بِٱللَّهِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ قَبِيلًا ٩٢ أَوۡ يَكُونَ لَكَ بَيۡتٞ مِّن زُخۡرُفٍ أَوۡ تَرۡقَىٰ فِي ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤۡمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيۡنَا كِتَٰبٗا نَّقۡرَؤُهُۥۗ قُلۡ سُبۡحَانَ رَبِّي هَلۡ كُنتُ إِلَّا بَشَرٗا رَّسُولٗا ٩٣

“Dan mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami. (90)

Atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya. (91)

Atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami sebagaimana kamu katakan, atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. (92)

Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan ke atas kami sebuah kitab yang kami baca.’ Katakanlah, ‘Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?’ (93)” 

[Surah al-Isra’: 90–93]

Mereka menolak negara hidayah yang bersifat madani disebabkan sangkaan yang salah kerana berkiblatkan kepada harta dan kekayaan sehingga menindas rakyat dengan zalim, sama ada secara bercukai mengikut undang-undang yang dicipta ataupun undang-undang zalim yang memperhambakan rakyat.

Penubuhan Madinah Sebagai Negara Hidayah Yang Bertamadun

Kemuncaknya, Rasulullah SAW berhijrah menubuhkan negara Madinah yang bercirikan Islam yang sempurna mengikut hidayah Allah, di samping berjaya mengumpulkan masyarakat majmuk.

Kedatangan Baginda SAW sebagai rasul akhir zaman adalah bagi mengembalikan manusia ke landasan yang sebenar tentang hikmah mereka diciptakan Allah berada di alam dunia mengikut ketetapan-Nya.

Berlaku kemusnahan di dunia, apabila tujuan penciptaan manusia beralih sehingga membawa kerosakan kepada alam sejagat yang manusia juga berada di dalamnya. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” 

[Surah al-Rum: 41]

Seterusnya, Allah SWT mendedahkan secara terperinci dengan firman-Nya:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” 

[Surah al-Baqarah: 213]

Mereka yang bertamadun, tetapi meninggalkan hidayah Allah akan menyebabkan kerosakan dunia, termasuk terhadap diri manusia sendiri.

Mereka berteraskan kebendaan yang dibina di atas kezaliman, penipuan, dan salah laku, lalu membakar diri sendiri dan merosakkan alam ciptaan Allah.

Keadaan yang menimpa tamadun jahiliah dahulu kala yang telah disebutkan oleh al-Quran, turut menimpa tamadun baru dan terkini dengan dakwaan kemajuan sains dan teknologi yang lebih parah kemusnahannya.

Puncanya adalah bercirikan kebendaan sahaja atau menjadikannya keutamaan, tanpa menafikan bahawa kebendaan ialah salah satu aspek keperluan yang menjadi rukun hidup manusia dan tamadunnya.

Perkara yang menarik perhatian, mengapa Makkah yang kering kontang dan tiada kekayaan harta dipilih menjadi tempat lahirnya nabi akhir zaman yang memimpin keseluruhan manusia pada zaman paling canggih dan cepat perhubungan masyarakat madaninya.

Allah menyebutkan betapa pilihan nabi akhir zaman yang memimpin seluruh manusia adalah daripada kalangan kaum Quraisy yang dilahirkan di tengah-tengah padang pasir yang kering tanpa hasil, bukan daripada kuasa besar yang wujud (Parsi dan Rom) dan negara berideologi kebendaan terkini di timur dan barat.

Firman Allah SWT:

لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ ٤

“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (1)

(Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas. (2)

Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Kaabah). (3)

Yang telah memberi makan mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” 

[Surah Quraisy: 1–4]

Dicipta daripada kaum Quraisy itu, manusia yang bercirikan ibadat di sisi Kaabah, khilafah mentadbir urusan kehidupan dengan ilmu wahyu dan akal, serta amanah kehebatan negara berdaulat yang membawa keamanan berkonsepkan keadilan.

Natijahnya, tamadun Islam berjaya memimpin masyarakat manusia yang majmuk tanpa paksaan menganut Islam, yang akhirnya mereka menganut Islam atau reda bersama negara Islam yang bertamadun.

Peranan Ilmu Membina Tamadun Islam

Allah menunjukkan di hadapan para malaikat bahawa manusia dipilih untuk bermasyarakat dengan ilmu dan hidayah Allah. Firman Allah SWT:

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢ قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ ٣٣

“Dan Dia mengajar Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!’ (31)

Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa-apa yang telah Engkau ajari kami. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32)

Allah berfirman, ‘Wahai Adam, beritahulah mereka nama-nama benda ini!’ Maka, setelah dia memberitahu mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, ‘Bukankah sudah Aku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya, Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, serta mengetahui apa-apa yang kamu lahirkan dan apa-apa yang kamu sembunyikan?’ (33)” 

[Surah al-Baqarah: 31–33]

Firman Allah SWT:

يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ٢٦٩

“Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam tentang al-Quran, al-Sunnah, dan lain-lain) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah, ia benar-benar telah dianugerahkan kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (daripada firman Allah SWT).” 

[Surah al-Baqarah: 269]

Rasulullah SAW bersabda:

الكَلِمَةُ ‌الحِكْمَةُ ‌ضَالَّةُ ‌الْمُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

“Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir yang dijumpai oleh seorang yang beriman. Di mana-mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang paling berhak memungutnya.” 

[Riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2687, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Zuhd, No. 4169 daripada Abu Hurairah]

Menjadi hikmah yang paling menarik apabila ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW ialah firman Allah SWT:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. (1)

Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2)

Bacalah, dan Tuhan kamulah Yang Maha Pemurah. (3)

Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4)

Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya. (5)” 

[Surah al-‘Alaq: 1–5]

Ketika negara bertamadun jahiliah bersikap zalim terhadap para ilmuwan kerana mereka dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan yang zalim dan bernafsu kebendaan, tiba-tiba Islam memuliakan ilmu yang bermanfaat kepada manusia.

Maka, kedatangan para ilmuwan dialu-alukan, menyebabkan ramai yang memeluk Islam atau lebih reda berada di bawah kerajaan Islam yang adil.

Kesannya, Islam berjaya mengislamkan pula ilmu dan para ilmuwan yang berperanan besar membina tamadun Islam dalam segala aspek kehidupan manusia, apabila ilmu berasaskan iman dan akhlak yang mulia.

Tamadun Barat terkini yang dijiplak daripada tamadun Islam dengan ideologi sekularisme yang menolak Islam menjadi hidayahnya, telah menunjukkan tanda kemusnahannya.

Islam Mewajibkan Berilmu Bersama Hidayah

Imam al-Ghazali RH menghuraikan secara panjang lebar dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din dengan membahagikan ilmu kepada fardu ‘ain dan fardu kifayah, bagi memenuhi kewajipan manusia secara individu dan masyarakat dalam urusan tujuan penciptaan (ibadat, khilafah, dan amanah).

Para ulama’ telah membahagikan hidayah kepada:

  1. Hidayah al-fitrah (tabii atau naluri) kepada semua makhluk.
  2. Hidayah al-hawwas (perasaan pancaindera) kepada manusia dan binatang.
  3. Hidayah al-‘aql (akal) kepada manusia sahaja.
  4. Hidayah al-din (Islam) kepada mereka yang dipilih oleh Allah.

Hidayah al-din inilah yang diulang dalam setiap rakaat solat:

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6)

(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri ni‘mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7)” 

[Surah al-Fatihah: 6–7]

Inilah negara hidayah yang menjadi perjuangan kita.

Maka, kumpulan Islam tidak boleh menumpang kepada selain daripadanya, walaupun kita bersusah payah, banyak cabarannya, dan tidak mengetahui tempoh menunggu kemenangan yang dijanjikan kebenarannya oleh Allah.

Firman Allah SWT:

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسۡتُضۡعِفُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَنَجۡعَلَهُمۡ أَئِمَّةٗ وَنَجۡعَلَهُمُ ٱلۡوَٰرِثِينَ ٥

“Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).” 

[Surah al-Qasas: 5]

Pertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis bersama Islam kurniaan Allah tempat kita berpijak ini dan teruskan perjuangan ke seluruh negara.

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA menegaskan:

نَحنُ ‌قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا اللهُ بِالإِسْلَامِ، فَمَهمَا نَبْتَغِي العِزَّ بِغَيرِ مَا أَعَزَّنَا أَذَلَّنَا اللهُ.

“Allah telah memuliakan kamu dengan Islam. Sekiranya kamu mencari kemuliaan selain daripadanya, nescaya kamu akan dihina oleh Allah.” 

[Kalam yang masyhur diucapkan oleh ‘Umar bin al-Khattab dengan pelbagai lafaz riwayat, antaranya dinyatakan oleh Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 7, Hlm. 60]

Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga menulis warkah kepada pemimpin wilayah yang mahu menaikkan cukai apabila menghadapi masalah kewangan:

‌إنَّ ‌اللهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌دَاعِيًا، ‌وَلَمْ ‌يَبْعَثْهُ ‌جَابِيًا.

“Sesungguhnya, Allah mengutus Muhammad SAW sebagai pendakwah, bukan sebagai pemeras cukai.” 

[al-Zahabi, Siyar A‘lam al-Nubala’, Jld. 5, Hlm. 147]

وأخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين