Firman Allah SWT:
﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku (Allah) yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.”
[Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW mentafsir ayat ini supaya berwaspada terhadap para syaitan perosak yang bijak menggoda di kiri dan di kanan garis (jalan) yang lurus, semasa dilalui oleh manusia dalam perjalanan hidup mereka supaya terpesong daripada petunjuk Allah.
[Al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, No. 11109, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 4437, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]
Para sahabat yang menyusun al-Quran yang kini dapat dibaca dengan mudah, diarahkan dengan nyata agar mengakhirinya dengan firman Allah SWT:
﴿قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ٢ إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ٣ مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ٤ ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ٥ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ٦﴾
“Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia.’ (1)
‘Raja manusia.’ (2)
‘Sembahan manusia.’ (3)
‘Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi.’ (4)
‘Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.’ (5)
‘Daripada (golongan) jin dan manusia.’ (6)”
[Surah al-Nas: 1–6]
Ada syaitan yang nyata daripada kalangan manusia dan ada juga daripada kalangan makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan oleh para ulama’ pada tahun 1951 menjadi mata rantai perjuangan Rasullullah SAW yang tidak mati dengan kewafatan Baginda, bahkan jalannya yang lurus ditunjukkan dan tidak boleh menyimpang sekali-kali.
Walaupun diharamkan jemaah yang berbagai-bagai nama sebelumnya dan dihapuskan nama atau pemimpinnya sahaja dengan berbagai-bagai cara, tetapi petunjuk Allah menjadi cahaya yang tidak boleh dipadamkan, tetap diikuti oleh kalangan umat yang setia pada sepanjang zaman.
Mereka melangsungkan kewujudan kumpulan Islam yang telah dinyatakan ciri-cirinya melalui firman Allah SWT:
﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Merekalah orang-orang yang mendapat kejayaan.”
[Surah Ali ‘Imran: 104]
Kumpulan itu bercirikan satu jemaah yang menyeru kepada kebajikan yang bermaksud Islam yang sempurna, melaksanakan amar ma‘ruf yang bermaksud berkebajikan dalam semua perkara dunia dan akhirat, melaksanakan nahi munkar dengan segala tahapnya, serta mencari keredaan Allah yang berwawasan keredaan dunia hingga akhirat.
Itulah kumpulan yang memimpin dengan hidayah Allah SWT berpandukan firman-Nya:
﴿وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِـَٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ٢٥﴾
“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberikan petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan mereka meyakini ayat-ayat Kami. (24)
“Sesungguhnya, Tuhanmu, Dialah yang memberikan keputusan antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa-apa yang selalu mereka perselisihkan padanya. (25)”
[Surah al-Sajdah: 24–25]
PAS berpandukan al-Quran dan Sirah Rasulullah SAW serta para anbiya’ dalam perjuangannya yang dipandu oleh Allah dengan hidayah wahyu-Nya, bukan berdasarkan panduan ahli-ahli falsafah Timur dan Barat yang menggunakan akal seperti Socrates, Plato, Adam Smith, Karl Marx, dan lain-lain, ataupun panduan pemimpin-pemimpin seperti George Washington, Nelson Mandela, dan lain-lain.
Allah membawa contoh Nabi Musa AS; walaupun Baginda telah senang menjadi anak angkat Firaun yang berkuasa dan paling kaya, namun Baginda tetap bangkit menentang kekufuran dan kezaliman Firaun dengan perintah Allah supaya beristiqamah.
Firman Allah SWT:
﴿وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيۡتَ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةٗ وَأَمۡوَٰلٗا فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَۖ رَبَّنَا ٱطۡمِسۡ عَلَىٰٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ وَٱشۡدُدۡ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَلَا يُؤۡمِنُواْ حَتَّىٰ يَرَوُاْ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَلِيمَ٨٨ قَالَ قَدۡ أُجِيبَت دَّعۡوَتُكُمَا فَٱسۡتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ٨٩﴾
“Musa berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya, Engkau telah memberi Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia. Wahai Tuhan kami! Akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih!’ (88)
“Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, telah diperkenankan permohonan kamu berdua (Musa dan Harun). Oleh sebab itu, tetaplah kamu berdua di jalan yang lurus (beristiqamah) dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui.’ (89)”
[Surah Yunus: 88–89]
Firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW:
﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣﴾
“Maka, tetaplah kamu di jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (112)
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh Api Neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)”
[Surah Hud: 112–113]
Maka, Rasulullah SAW menolak tawaran menjadi raja dan pemimpin serta menolak pemberian harta dan wanita dengan sabdanya:
يَا عَمُّ، وَاَللَّهِ لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ، مَا تَرَكْتُهُ.
“Wahai ayah saudaraku, demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (Islam) ini, aku akan teruskan sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati dahulu, nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini!”
[Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 266]
Apabila Rasulullah SAW mencari pemimpin kabilah Arab yang bersedia menerimanya untuk berhijrah ke tempat mereka, tiba-tiba pemimpin Bani ‘Amir bertanya siapa yang akan menjadi ketua kerajaan apabila menang nanti (kerana mereka mahu akan jawatan itu)?
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
الْأَمْرُ إلَى اللَّهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ.
“Kekuasaan itu kepunyaan Allah. Dia memberikannya kepada sesiapa sahaja yang layak mengikut kehendak-Nya.”
[Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 425]
Bermakna, Rasulullah SAW menolak orang yang gelojoh mahu menjadi ketua negara.
Akhirnya, Baginda menerima kaum Aus dan Khazraj dari Madinah yang berbaiah untuk berjuang bersamanya tanpa meminta jawatan dan harta.
Maka, PAS yang beristiqamah dan berprinsip dengan konsep tersebut mencari pemimpin yang layak mengikut perintah Allah, bukannya dipimpin oleh pihak lain yang hanya dibenarkan PAS sekadar menjadi penumpang kepada pemimpin yang tidak beristiqamah.
Solat mereka menghadap ke arah Kaabah Rumah Allah di Makkah, adapun politik dan ekonomi mereka menghadap ke arah White House (Rumah Putih) di Amerika Syarikat.
Maka, PAS tidak pernah dalam sejarah perjalanannya menjadi penumpang kepada parti lain yang salah prinsipnya dan mengheret PAS bersama kesesatannya.
PAS berdiri dan terus melangsungkan perjuangan dengan kekuatan ahlinya dan para pemimpin yang beristiqamah, bukan melalui jumlah kerusinya dan siapa pemimpinnya bersama pasang surut pencapaiannya.
Marilah bersama bahtera perjuangan PAS yang teguh menghadapi arus dan gelombang bersama perjalanan ahli yang istiqamah, bukan bahtera yang dipenuhi lanun, penipu, perompak, dan pemabuk yang membahayakan perjalanan dan juga membinasakan para penumpang.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS