• June 26, 2025 1:16 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Perutusan Aidil Fitri 1444H Oleh Presiden PAS

Apr 21, 2023

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.

” .. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana mendapat pertunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah Al-Baqarah:185)

Alhamdulillah marilah kita panjatkan syukur kepada Allah SWT kerana telah menganugerahkan Ramadan yang sangat bermakna kepada kita semua.

Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan terbaik dalam hidup kita dengan menatijahkan taqwa.

Pada masa yang sama, kita memperingati kemenangan Islam dalam Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal tahun yang ke-5 Hijrah Rasulullah SAW, yang kita ulangi menyebutnya dalam setiap takbir:

‌وَهَزَمَ ‌الأَحْزَابَ ‌وَحْدَهُ

“Dan Allah membinasakan bala tentera Ahzab dengan keesaan-Nya (tiada yang lain daripada-Nya).”

Pada zaman kini kita sedang menghadapi bala tentera Ahzab yang menentang Islam di seluruh pelosok dunia.

Bukan sahaja diserang melalui tentera dan senjata seperti yang berlaku di Palestin, Afghanistan dan Iraq yang telah membunuh manusia, binatang, memusnahkan rumah kediaman, kebun dan ladang, termasuk merosakkan alam sekitar.

Mereka menentang Islam melalui kefahaman yang salah berkenaan politik, ekonomi, pendidikan, akhlak dan lain-lain melalui pelajaran dan penyiaran yang dibaca dan dilihat, khususnya media baru (Internet) dan lain-lain, dalam keadaan orang Islam berada dalam kejahilan murakkab (tidak sedar dirinya jahil dan berasa pandai).

Sedarlah bahawa musuh Islam lebih mudah merampas tanah air kita dan merompak harta kita kerana kita sedang berpecah dan ada yang berperang saudara, sedangkan musuh itu bersatu menentang kita.

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, sama ada yang berada di dalam negara mahupun di perantauan.

Mudah-mudahan, kita beroleh ketaqwaan dan terus beristiqamah dalam menjalankan ketaatan kepada Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

“Malaysia Sejahtera”

تقبل الله منا ومنكم، كل عام وأنتم بخير.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS