• April 1, 2026 12:14 pm

DHPP

Dewan Himpunan Pendukung PAS

Saya Akan Istiqamah Dengan PAS – Selvendran

Mar 1, 2022

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Johor, Selvendran Velu akan beristiqamah dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sampai bila-bila.

Menurutnya, beliau terlibat dengan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) negeri melalui mendiang Kumutha Raman.

“Mendiang Kumutha yang memperkenalkan DHPP kepada saya.

“Jadi dia yang banyak mengajar saya dan melalui mendiang Kumutha, saya banyak belajar.

“Lepas tu YB Senator Balasubramaniam banyak bantu saya dan beliau juga memberi tunjuk ajar dalam perjalanan DHPP.

“Saya banyak belajar dari mendiang Kumutha dan Senator Bala,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di sini.

Beliau memberitahu, sebelum ini sememangnya beliau tidak terlibat dalam mana-mana parti politik walaupun mengundi pada pilihan raya.

“Jadi, apabila jumpa dengan mendiang Kumutha, dialah yang banyak menceritakan tentang PAS,” katanya.

Menurutnya, beliau yang mempunyai restoran di Permas ada seorang kawan bernama Aril yang memperkenalkan beliau kepada Kumutha.

“Dia selalu datang ke kedai, jadi kita berbual la macam pelanggan.

“Apabila dia cakap tentang PAS, tanggapan saya, PAS ini fanatik.

“Islam, takut jadi Islam.

“Kemudian mendiang Kumutha cakap, tidak.

“Saya dalam PAS ini lebih daripada 10 tahun, dia cerita.

“Cuba bergaul, cuba tengokdulu, kalau awak berminat, awak boleh teruskan, kalau tidak berminat tak apa,” ujarnya lagi.

Tambahnya, melalui mendiang Kumutha yang merupakan pelanggan restorannya, beliau mulai mengenali Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin dan lain-lain.

“Saya kenal dengan Ustaz Abdullah, dengan pimpinan PAS semua, sungguh mesra.

“Mereka layan dengan baik, walaupun (saya) non-Muslim.

“Sampai hari ini sudah empat tahun lebih, satu orang pimpinan tertinggi (PAS), tak pernah cakap pada saya untuk tukar agama, convert.”

“Tidak. Tidak pernah, empat tahun lebih, tidak pernah.

“Tetapi mereka selalu cakap pasal agama dan akhlak yang betul.

“Cara hidup yang betul.

“Berdisiplin, tolong menolong, selalu hormat menghormati.

“Itu yang saya selalu belajar daripada PAS,” katanya.

Kata Selvendran, apabila melihat pemimpin PAS lebih mesra menyebabkan beliau tertarik dengan PAS sehingga mendiang Kumutha memberikan jawatan Setiausaha DHPP Johor dan beliau menerimanya.

“Apabila saya jadi setiausaha, Ustaz Abdullah semua sangat mesra dengan saya, pimpinan PAS Johor sangat mesra, mereka banyak membantu saya.

“Yang dipertua PAS kawasan banyak bantu saya.

“Jadi saya tertariklah dengan kemesraan mereka, macam sudah jadi satu keluarga.

“Saya tak rasa pimpinan tinggi, orang PAS ini macam orang asing, macam satu keluarga, memang saya selesa, sangat selesa,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, beliau yang mewakili Perikatan Nasional bertanding di DUN Paloh yang berhadapan dengan tiga calon lain.

Selvendran berhadapan dengan Sheikh Umar Bagharib Ali (PH-DAP), Lee Ting Han (BN-MCA) dan Aminuddin Johari (Pejuang).

Pada pilihan raya lalu, kerusi DUN itu dimenang oleh Sheikh Umar dengan majoriti 783 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac.